Puasa & Hamil Boleh Seiring

Untuk rakan-rakan...ChaMamalieyna,CatZla yang sedang hamil namun mahu meneruskan ibadah berpuasa, anda haruslah peka dengan tanda-tanda yang menggesa anda supaya berbuka agar tidak menimbulkan sebarang masalah kepada kandungan.  




Jika anda dan kandungan tidak berhadapan dengan sebarang masalah kesihatan, anda dibolehkan berpuasa seperti biasa. Lain halnya bagi kehamilan bermasalah. Sebaik-baiknya, usahlah berpuasa.

Secara amnya, amalan berpuasa ketika hamil adalah selamat. Walau bagaimanapun, sebelum melaksanakan ibadah ini, bincang terlebih dahulu dengan doktor kerana beliau lebih mengetahui tahap kesihatan anda dan kandungan. Doktor biasanya tidak menggalakkan wanita hamil untuk berpuasa pada 12 minggu pertama dan trimester ketiga. Namun, jika anda hamil dalam bulan ke-4 hingga ke-6, anda dibenarkan berpuasa dengan syarat kesihatan tubuh dan mental berada di tahap memuaskan.

Dalam memutuskan sama ada anda boleh berpuasa atau tidak, ia turut bergantung kepada tahap nutrien dalam tubuh. Hal ini harus dititikberatkan kerana selain daripada memenuhi keperluan diri, anda turut perlu menyediakan bekalan nutrien secukupnya untuk bayi dalam kandungan.

Perlu anda ketahui bahawa proses pengumpulan nutrisi yang optimum sebenarnya bermula sejak anda berada di zaman kanak-kanak lagi. Sekiranya, anda mengamalkan tabiat pemakanan sihat sejak awal, maka status pemakanan tentu bagus, sekali gus mempunyai bekalan yang cukup untuk digunakan sepanjang kehamilan. Dengan meneruskan tabiat ini ketika hamil, anda bukan sahaja dapat mengelakkan kekurangan nutrien, malah memastikan bayi dalam kandungan sentiasa sihat.

Sementara itu, jika anda mengalami kekurangan nutrien, ia bakal menyebabkan tumbesaran bayi mengalami masalah. Semua bekalan nutrien yang ada di dalam tubuh anda akan diambil sepenuhnya oleh janin yang sedang membesar. Jika anda tidak mengubah tabiat kepada pemakanan sihat, bayi dalam kandungan akan terjejas. Kekurangan makanan berzat biarpun sedikit akan menjejaskan kesihatan anda dan bayi.

Semasa di awal kandungan, anda berkemungkinan kerap mengalami gejala mual, pening dan muntah. Sebaiknya jangan berpuasa. Hal ini kerana bayi amat memerlukan nutrien. Jika anda tergolong dalam individu yang tidak mengamalkan pemakanan sihat, maka ia bakal memudaratkan diri dan kandungan.

Panduan Pemakanan
Anda tidak boleh menjadikan kehamilan sebagai alasan untuk makan secara berlebihan terutamanya ketika berbuka puasa. Pengambilan makanan daripada pelbagai jenis makanan amat penting. Agar tubuh kekal segar, anda harus mengutamakan makanan yang berprotein tinggi. Ini turut membuatkan perut lambat berasa lapar.

Bagaimanapun, elakkan pengambilan karbohidrat dan gula kerana ia hanya menambah kalori. Lain halnya dengan serat dan sayur-sayuran. Makanan jenis ini jangan sesekali diabaikan. Begitu juga dengan cecair. Minum banyak air bagi memenuhi tuntutan harian sebanyak 2 liter sehari.
Minumlah air sepanjang malam selepas waktu berbuka. Jika kerap membuang air kecil, ia petanda baik yang menunjukkan bahawa anda tidak mengalami dehidrasi. Digalakkan juga agar anda meminum segelas susu setiap kali bersahur.

Semasa berbuka puasa, anda dinasihatkan agar mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil. Jangan makan dalam kuantiti yang banyak kerana ini boleh menimbulkan ketidakselesaan. Antara jenis makanan yang disarankan ialah buah-buahan segar, kurma, jus buah-buahan segar, kuih-muih yang kurang manis dan kurang lemak, yogurt rendah lemak bersama buah-buahan segar dan sebagainya. Selepas beberapa jam, anda boleh menikmati hidangan yang lebih berat.

Namun, pastikan ia seimbang dan berkhasiat. Begitu juga waktu bersahur. Anda digalakkan mengambil makanan seimbang dan amalkan pengambilan makanan yang rendah lemak. Waktu makan sahur amat penting kerana makanan yang diambil perlulah dapat bertahan dalam tempoh jangka masa yang panjang.

Petanda Harus Berbuka
Terdapat beberapa tanda yang menggesa agar anda lekas berbuka agar tidak menimbulkan sebarang masalah kepada kandungan mahupun diri sendiri.

1. Muntah
Jika anda muntah lebih daripada 4 kali sehari, segeralah berbuka puasa agar tidak mengalami dehidrasi. Kalau anda berkeras untuk meneruskan puasa, tubuh akan mengambil tenaga daripada lemak tubuh. Hal ini akan menyebabkan darah anda berasid. Selanjutnya, organ-organ tubuh seperti buah pinggang boleh mengalami kerosakan dan bayi kekurangan nutrien.

2. Cirit-Birit
Apabila hal ini terjadi, apatah lagi jika disertai dengan perut memulas, sebaiknya lekas berbuka dengan banyak minum air biarpun anda baru sekali membuang najis. Selain itu, segera mendapatkan rawatan doktor agar anda tidak mengalami dehidrasi.

3. Hidung Berdarah
Jika mengalami hal ini, lekaslah batalkan puasa. Dikhuatiri anda mengalami masalah lain pula. Hidung berdarah mungkin merupakan tanda tekanan otak meningkat kerana keadaan tubuh yang kurang stabil.

4. Hipoglikemia
Apabila puasa anda terus dipertahankan, dibimbangi janin kekurangan zat makanan yang bakal mempengaruhi pertumbuhannya.

5. Pening
Masalah sebegini yang disertai dengan mual atau muntah adalah petanda tidak baik. Segeralah berbuka dengan segelas air hangat yang manis kemudian makan nasi secukupnya sebelum mengambil ubat yang dibenarkan oleh doktor.

6. Peluh Berlebihan
Adalah wajar jika anda kerap berpeluh ketika hamil. Namun, peluh berlebihan terutamanya peluh dingin merupakan petanda bahawa tubuh tidak lagi mampu meneruskan puasa. Jadi, sebaik-baiknya lekas berbuka.

7. Mata Berpinar
Petanda ini muncul akibat kadar gula dalam darah yang rendah. Jika mengalaminya, anda disyorkan berbuka dengan meneguk segelas air panas yang manis selain daripada makan sesuatu. Selanjutnya, segeralah berehat.

2 Gtau jek:

Unknown said...

waaa best ni info ni

IntaNBerliaN said...

saya dulu masa 36 minggu scan bert baby 2.9kg tapi bila 40 minggu.. time dah bersalin tu.. baby berat 2.6kg.. tak sangka pulak bila saya berpuasa berat baby blh turun.. sdgkan sblm tu dah tanya nurse pasal ni.. nurse kata berat baby takkan turun.. tapi okla, takdala nak teran teruk sangat... hihii

 
Copyright © Mama Najlaa Punya | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in