Showing posts with label cergas. Show all posts
Showing posts with label cergas. Show all posts

Aerobik & Aerodanze' Sama @ Berbeza?


Aerobik membawa maksud 'dengan oksigen' manakala senaman aerobik ini boleh didefinisikan sebagai jangka masa panjang melakukan rutin senaman yang bermula dari impak rendah, sederhana hingga maksima sebelum disudahi dengan irama perlahan kembali. Keseluruhan rutin senaman ini melibatkan penggunaan keseluruhan otot tubuh seperti kaki, tangan, belakang tubuh dan peha dalam dan luar. Maksud jangka masa panjang dalam bidang aerobik ini adalah apabila mencapai tempoh impak tinggi itu, cuba kekalkan untuk tempoh 20 minit atau lebih lama lagi. Inilah yang dikatakan melakukan gerakan dan mengekalkan sasaran degup jantung.

Senaman aerobik ini mula diperkenalkan pada tahun 1970 di mana pengasasnya Dr. Kenneth H. Cooper mereka gerak senam ini bertujuan untuk memperbaiki tahap fizikal individu serta memperbaiki fungsi sistem kardiovaskular. Matlamat setiap gerakan di dalam aerobik adalah untuk membantu tubuh menyerap dan mengangkut oksigen ke segenap tubuh dengan lebih berkesan. Ada pelbagai jenis senaman berbentuk aerobik ini dan tempoh waktu bagi setiap kategori juga berbeza. Dr. Cooper yang juga bekas Leftenan Kolonel Tentera Udara Amerika Syarikat ini telah menulis 18 buah buku tentang manfaat dan teknik aerobik yang sesuai malah telah dikenali sebagai 'Bapa Aerobik' di kalangan penggiat kecergasan seluruh dunia.
Apa Kelebihan Aerobik?
Aerobik boleh dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali dan maksima lima kali seminggu. Daya intensiti dalam aerobik adalah mengikut keupayaan tubuh. Latihan senaman aerobik mengandungi 3 peringkat:
1. Sesi Memanaskan Badan
- Ia membantu otot otot jantung dan sendi-sendi bersedia untuk melakukan aktiviti sebenar.

- Ini akan dapat melindungi dari kecederaan.
- Ciri-ciri memanaskan badan termasuk :
a. Jangka masanya lebih kurang 10 minit.
b. Mulakan dengan senaman ringan seperti berjalan atau berlari anak-anak dan diakhiri dengan regangan.

Revolusi 'Aerodanze'
Walaupun bersenam itu penting dan boleh dikatakan satu keperluan 'wajib' bagi tubuh, namun ramai yang masih mencari alasan untuk tidak melakukannya. Bersenam masih dianggap hal yang remeh dan tak seronok. Bagi memberikan anda lebih variasi dengan tambahan keseronokan yang diimpikan, anda mungkin boleh mencuba 'dance aerobics' atau lebih sinonim di kalangan penggemar rutin kecergasan yang rancak sebagai 'aerodanze'.


Kelebihan 'Aerodanze'
Tidak banyak bezanya jika dilihat dari segi manfaat yang diperolehi dari kedua rutin senaman ini. Bagaimanapun, 'aerodanze' yang lebih santai ini senang diikuti oleh golongan amatur atau anda yang baru saja berjinak jinak dengan dunia kecergasan atau 'workout' ini. Di antara manfaatnya adalah:
1. Membantu menguatkan tubuh termasuklah bahagian 'weight bearing bones' dan otot kardiovaskular.
2. Ia juga membantu anda menurunkan berat badan di samping membina otot tubuh menjadikan penurunan berat anda sihat dan tubuh kekal fit. 'Aerodanze' ini juga amat sesuai dilakukan bagi anda yang ingin membentuk kembali tubuh khususnya di bahagian bawah tubuh khususnya pada bahagian punggung, paha dan betis.

Melakukan kerja rumah adakah dikira sebagai SENAMAN?


Perkataan ‘bersenam’ itu sendiri punya kuasa luar biasa untuk membuatkan ramai orang berasa lelah walaupun sebelum melakukannya. Entah di mana salahnya, rutin bersenam ini bagaikan payah untuk dilakukan terutamanya bagi wanita yang sudah bekerjaya. Cuti hujung minggu terasa mahu dihabiskan bersama keluarga saja. Bagi surirumah pula, bersenam dianggap bukanlah keperluan!

“Kita orang perempuan tak payah nak bersenam. Buat kerja rumah, jaga anak, memasak segala, itu pun dah kira bersenam...”

Berdasarkan satu kajian ke atas 2,042 orang dewasa yang dikendalikan oleh ‘Opinium Research’ bagi pihak ‘Chartered Society of Physiotherapy (CSP)’ di British mendapati bahawa kira-kira 17% darinya lebih rela melakukan kerja rumah dari bersenam. Bagaimanapun 40% dari responden masih yakin dengan keberkesanan masa senaman yang betul manakala 43% lagi sedar kepentingan bersenam tetapi tetap malas untuk melakukannya.

1. Berjalan
Walaupun anda surirumah, anda masih perlu luangkan masa beriadah atau bersantai. Jika cuaca elok, cuba ambil angin di luar. Berjalan di sekitar taman perumahan anda mampu menjadi aktiviti rutin di petang hari. Sambil berjalan, anda boleh juga mengenali jiran yang lain. Lambaian dan senyuman mesra kepada jiran-jiran anda mampu membantu meningkatkan aliran adrenalin anda. Pasti anda lebih gembira dan tenang. Namun jika keadaan cuaca tidak mengizinkan, anda masih boleh berjalan di dalam rumah. Pusing keliling rumah anda dan kutip semua baju yang perlu dibasuh. Naik turun tangga juga sangat baik sebagai gantian senaman kardio. Pusing keliling rumah anda berulang kali jika rumah anda tidak mempunyai tangga. Jika tidak mahu berasa bosan, berjalan sambil menyanyi atau mendengar lagu. Cara ini mampu membantu anda membentuk otot kaki di samping memperolehi manfaat senaman berintensiti rendah.

2. Lompat bintang
Aktiviti ini sentiasa menjadi aktiviti paling seronok untuk dilakukan. Ia juga tentunya dapat mengembalikan memori di zaman kanak-kanak. Bukan itu saja, anda boleh melakukannya di mana jua sama ada di ruang tamu, di bilik atau di ruang dapur di antara kesibukan anda menguruskan rumah. Apa yang lebih menarik, aktiviti ini merupakan aktiviti pemanasan tubuh yang baik dan jika dilakukan berulang kali selama 15 minit boleh menjadi aktiviti kardio yang hebat!

3. Tekan tubi atau bangkit tubi
Ia bukanlah aktiviti pilihan ramai orang tetapi ia tetap aktiviti mudah untuk dilakukan. Anda hanya akan berasa rutin ini remeh apabila anda mahu lakukannya lagak si ‘Rocky’, menggunakan satu tangan atau sebanyak 100 kali tanpa henti. Gunakan kedua tangan anda jika anda melakukan tekan tubi. Mulakan dengan jumlah yang anda mampu dan mengikut masa yang ada. Sebaiknya anda lakukan sebelum tidur atau ketika bangun pagi. Waktu itu anda masih ada masa dan tubuh masih segar. Anda juga boleh melakukannya sambil berdiri dengan menekan kedua tangan ke arah dinding. Jarakkan kaki dan mulakan gerakan anda. Latihan ini mampu membina kekuatan lengan dan dada.

4. Angkat kaki
Ini adalah gerakan yang sangat baik untuk membina kekuatan otot. Lakukan secara santai sahaja. Umpamanya sewaktu menonton televisyen. Luruskan kaki ke atas atau dengan menggunakan sofa sebagai agen mengampu beban. Selang selikan gerakan kedua kaki anda seperti mengayuh basikal.


Diet@Senaman Mana Satu Pilihan Anda?

Di antara gimnasium dengan kurangkan makanan, yang mana pilihan anda untuk mendapatkan hasil badan yang sihat, langsing dan menarik? Usah pening kepala, sebenarnya, dalam hal ini terdapat tiga perkara yang perlu dititikberatkan iaitu pola pemakanan, senaman dan rehat yang cukup. Namun, masih ramai wanita yang merasakan senaman adalah perkara yang cukup berat untuk dilakukan. Alasannya, tidak mempunyai masa atau mungkin anda malas untuk bersenam.

Sebab itulah, senaman bukan dianggap cara terbaik sehinggakan ramai pakar kesihatan lebih menyarankan untuk anda berdiet atau mengubah pola pemakanan. Jadi, bagaimanakah anda mengatasi masalah kesihatan sama ada diet atau senaman?

1. Menurunkan Berat Badan
Lebih Baik: DIET

- Menurut Timothy Church dari Pennington Biomedical Research Center, Louisiana State University mengatakan lebih mudah mengurangkan kalori daripada menghabiskan satu jam di gimnasium untuk membakar 500 kalori setiap hari.

- Penelitian lain juga telah membuktikan pengurangan kalori adalah jalan pintas untuk menjadi lebih langsing. Walau bagaimanapun, kombinasi diet dan senaman tetap penting untuk menjaga berat badan dengan lebih sihat.

2. Tingkatkan Tenaga
Lebih Baik: SENAMAN

- Menurut Patrick O’Connor, pakar psikologi di University Of Georgia mengatakan senaman atau olahraga akan menguatkan fikiran. Malah, kajian daripada 70 pelajar turut menyokong fakta bahawa mereka yang berlatih secara konsisten dan teratur akan mengalami peningkatan tenaga.

3. Kurang Risiko Penyakit Jantung
Lebih Baik: DIET

- Menurut William Harris, Pengarah Pusat Penelitian Kesihatan Kardiovaskular di University Of South Dakota mengatakan satu jenis gizi (Omega 3) dapat menurunkan risiko penyakit jantung.

- Selain itu, Omega 3 yang terdapat dalam ikan dapat menurunkan risiko penyakit jantung sehingga 64%. Namun, senaman juga tetap membantu menguatkan sistem kardiovaskular.

4. Mencegah Diabetes
Lebih Baik: SENAMAN

- Berat badan yang ideal dan sihat dengan cara mengubah pola pemakanan dan bersenam adalah pertahanan yang kuat terhadap penyakit ini. Tidak dinafikan juga, aktiviti fizikal turut memainkan peranan kerana otot-otot yang sudah aktif akan menyerap glukosa dalam darah untuk dijadikan bahan bakar. Seterusnya, ia membantu menjaga kadar gula darah menjadi stabil.


5. Mencegah Kanser
Lebih Baik: DIET & SENAMAN

- Sentiasa menerapkan pola pemakanan yang cenderung kepada sayuran dan buah-buahan serta aktiviti fizikal yang teratur boleh mencegah daripada penyakit kanser. Malahan, banyak kajian membuktikan bahawa semakin konsisten anda melakukan senaman, semakin tinggi tahap keselamatan anda terhadap kanser.

sumber

Pikat Anak Dengan Aktiviti Cergas!

Umpan anak anda dengan aktiviti kecergasan yang penuh variasi dan keceriaan. Jangan lupa untuk anda menyertainya juga. Jadilah sebuah keluarga yang akrab malah sihat dan cergas bersama!

Kemajuan di dalam bidang akademik memang penting tetapi pencapaiannya masih dipengaruhi oleh kecergasan fizikal dan mental kanak-kanak terbabit. Apabila kanak-kanak berpeluang untuk bermain di waktu rehat, mereka sebenarnya akan lebih segar dan fokus sewaktu pembelajaran di dalam kelas. Kanak-kanak yang tidak aktif akan cenderung untuk menjadi obesiti dan mudah letih malah kurang kepekaan dalam menerima pelajaran. Justeru sebagai ibu bapa, anda seharusnya lebih prihatin tentang keperluan kecergasan anak anda. Ciptalah ruang riadah yang lebih santai agar minat terhadap aktiviti senaman di kalangan anak anda dapat dipupuk.

Cara cipta keseronokan di luar rumah

1. Jom kunjungi ‘playground’!

Harus diakui, kanak-kanak tak mungkin mampu menolak godaan taman permainan. Buaian, papan gelungsur dan tali hayunan (swing) pasti membuatkan anak anda terus ingin bergerak tanpa dipaksa. Selain itu, permainan membina istana pasir atau sebagainya di dalam ‘sandbox’ juga sangat baik untuk otot lengan. Jangan lupa membawa alatan permainan sampingan seperti layang-layang, bola dan tali skiping untuk menambahkan lagi variasi aktiviti riadah untuk dilakukan bersama.

2. Rentasi halangan mudah

Ajaklah jiran anda sekeluarga untuk satu aktiviti rentasi halangan yang mudah atau mungkin rekalah acara seperti ‘treasure hunt’. Galakkan anak anda untuk menerajui permainan dan menyelesaikan klu yang diberi. Selain membantunya untuk kekal fit, ia juga mampu menjadikan anak anda lebih bertanggungjawab dan peka kepada keadaan sekeliling.

3. Permainan klasik tak kurang hebatnya

Di antara permainan yang boleh dicuba adalah seperti ‘konda-kondi’, ‘teng-teng’, ‘twister’, ‘hullabaloo’ atau pun ‘jengket-jengket’. Aktiviti sebegini bukan saja menyeronokkan malah mampu mengembalikan nostalgia silam anda sendiri. Ia juga mudah dan mampu dimain di laman rumah.

4. Membersih & mengemas bersama

Melakukan kerja rumah menjadi lebih mudah dan menyeronokkan jika ada yang membantu. Untuk itu, aturkan waktu ‘spring cleaning’ setiap dua minggu sekali. Buat satu jadual ringkas dengan menyenaraikan semua tugasan yang bakal dijayakan oleh semua orang di dalam rumah. Anda juga boleh membahagikan tugasan secara berkumpulan seperti tugasan dalam rumah dan luar rumah. Lantik anak anda sebagai ‘ketua’ bagi setiap kumpulan. Jika dilakukan secara konsisten selama satu jam, ia dapat membantu membakar lebih dari 300 kalori untuk satu jam.

sumber



 
Copyright © Mama Najlaa Punya | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in