TIP MEMILIH CERMIN MATA YANG SESUAI



BUKAN semua orang mempunyai penglihatan yang baik. Masalah seperti rabun bukanlah asing bagi wanita mahupun lelaki. Di mana-mana sahaja, anda boleh melihat mereka mengenakan cermin mata.

Namun, apabila bercakap tentang cermin mata, bukan semua orang berasa gembira untuk memakainya. Mungkin kerana itu, mereka lebih suka memilih kanta lekap untuk melihat dengan lebih jelas.

Terdapat beberapa faktor mengapa sesetengah individu tidak kira lelaki mahupun wanita enggan mengenakan cermin mata. Bagi mereka, memakai cermin mata membuatkan wajah mereka seperti seorang yang skema, naif atau tidak menarik. Anda sendiri tahu, bagaimana cermin mata sering dijadikan 'efek helah' untuk 'menghodohkan' wajah sesuatu watak dalam sesebuah drama atau filem.

Namun, mereka sewajarnya mengakui bahawa cermin mata sememangnya praktikal untuk digunakan. Bagi mereka yang hanya memerlukan 'bantuan penglihatan' ketika membaca atau melihat objek yang amat jauh, cermin mata adalah aksesori yang lebih wajar untuk dimiliki kerana ia boleh ditanggal dan dipakai pada bila-bila masa dikehendaki. Jika menggunakan kanta lekap, adalah leceh untuk menanggal dan memakainya berkali-kali dalam sehari.

Tetapi, bukan itu sahaja masalahnya. Sesetengah orang terutamanya lelaki enggan berkaca mata kerana tidak tahu bingkai cermin mata yang bagaimana sesuai untuk mereka. Membuat keputusan ketika memilih cermin mata di kedai optik sering mengambil masa yang begitu lama. Jika tidak ada rakan yang menemani untuk memberikan pandangan, barangkali anda hanya akan pulang dengan tangan kosong.

Sebagai mana gaya rambut, bentuk kepala memainkan peranan penting dalam menentukan bingkai cermin mata yang sesuai dengan anda. Stailo kali ini memberikan panduan kepada para jejaka untuk memilih cermin mata yang sesuai sekali gus tampil segak dan bergaya.



Muka bulat

Jika anda merupakan lelaki yang mempunyai bentuk wajah yang bulat seperti Elton John, iaitu rahang yang melengkung, berwajah penuh serta dagu dan pipi yang membulat, anda disaran memilih cermin mata yang boleh menonjolkan kontras. Pilih cermin mata berbentuk segi empat sama atau panjang tetapi berlensa agak besar. Jangan terlalu kecil kerana ia akan membuatkan mata anda nampak kecil. Elakkan memilih bingkai bulat atau lonjong kerana ia akan membulatkan lagi wajah anda.

GAYA rambut penting dalam menentukan bingkai cermin mata, namun, pilihan warna bingkai tidak menjadi masalah kepada lelaki berambut hitam.

Muka petak

Jika anda memiliki wajah empat segi atau berahang petak, adalah lebih baik untuk anda mengenakan bingkai cermin mata yang bulat atau bujur kerana ia boleh 'melembutkan' sedikit bentuk kepala anda.

Kepala bujur

Jika kepala anda bujur atau lonjong, anda sebenarnya bertuah kerana wajah anda boleh menerima apa juga bentuk cermin mata. Anda boleh memilih bingkai bulat dan empat segi. Terbaik untuk anda ialah memilih cermin mata yang berbentuk empat segi tetapi tidak begitu berpetak.

Muka segi tiga

Jika anda mempunyai kepala berbentuk segi tiga, tip asasnya, ikut seperti kepala berpetak. Pilih cermin mata yang bulat untuk memberi keseimbangan. Lebih bulat lebih baik.

Muka bentuk hati


Jika anda memiliki bentuk wajah sebegini, bentuk cermin mata yang paling sesuai untuk anda ialah yang bujur. Bingkai yang lebih lembut akan menyeimbangkan bentuk wajah anda. Bingkai empat segi yang besar juga boleh dipertimbangkan.

Selain itu, apa yang perlu diberi perhatian apabila hendak memilih cermin mata ialah jangan sesekali memilih cermin mata yang menutupi kening anda. Pastikan kening anda kelihatan walaupun memakai cermin mata bulat atau empat segi yang besar.

Memandangkan kebanyakan kita di Asia berambut hitam, pilihan warna bingkai cermin mata tidak begitu menjadi hal.

Mengenai rim (bingkai depan) pula, ada sesetengah kita tersepit dalam memilih cermin mata rim penuh atau rim separa atau langsung tidak berim. Tipnya mudah. Lihat berapa kuat kuasa cermin mata anda. Jika lensa cermin mata anda tebal, masakan anda mahu memakai cermin mata yang tidak berim sehingga membuatkan orang boleh melihatnya dan bertanya 'berapa kuasa cermin mata anda?'

Bagaimanapun, Stailo! mendapati trend hari ini memperlihatkan cermin mata berbentuk maskulin dan tradisional lelaki kembali bangkit.

Bingkai horn-rimmed atau jenis aviator dilihat kembali menawan hati para lelaki. Bingkai yang tebal dan besar termasuk pada bahagian temple (bahagian cermin mata yang memanjang di tepi dan menyangkut telinga) menjadi trend tanpa mengira warna.

Cermin mata bingkai plastik agak tebal ala Clark Kent (biasanya berwarna hitam atau coklat) juga meraih perhatian dengan kembalinya gaya retro.

Cermin mata langsung tidak berim pula sesuai untuk jejaka berjiwa manimalis.


7 Gtau jek:

Zaidah said...

teringat citer aku milikmu...cermin mata dia nyerlah besar...kelakar...

Lelord said...

citer pe tu zai? yg pakai stokin belang2 tu ke

mamaarifakeemaisy said...

waa nak beli spek pun ada tips eh..hehe..bagus3x..

matahati-aishahazhar said...

bagus tips ni.. ada cermin mata tapi dok terperuk kat dalam dashboard kerete je.. sbb tak selesa..

Zasillah Ariffin said...

ku pakai cermin mata...tapi sebab rabuk ku jauh sekali....hukhukhuk

Nur Hawa Mohd Zin said...

kak awe copy ye..utk masa depan...heheh..

Lelord said...

sila awe..amik jek

 
Copyright © Mama Najlaa Punya | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in