

Kawan senang dicari tetapi tidak sahabat. Kita boleh berkawan dengan sesiapa sahaja yang kita suka dan memiliki seberapa ramai kawan yang kita mahu. Namun sahabat hanyalah untuk orang tertentu sahaja. Sahabat lebih akrab hubungannya. Susah senang segalanya boleh dikongsi bersama.
Apa pula kaitan tangan dan mata dengan persahabatan. Jawapannya adalah persahabatan itu seperti tangan dan mata. Ketika tangan terluka, mata menangis, dan saat mata menangis, tangan menghapuskan air mata. Alangkah manis ungkapan ini, terasa benarnya!
Sahabat sejati adalah sahabat yang sama-sama mahu menempuh saat suka dan duka. Tidak hairan ada orang menjalin persahabatan bertahun-tahun lama, diikat pula dengan hubungan sesama keluarga yang erat. Sahabat begini sesungguhnya susah ditemui tetapi ada di dunia ini. Cuma masa dan keadaan menemukan kita dengan sahabat sejati.
Namun persahabatan itu tidak terjalin atas landasan lurus. Sepanjang perjalanan membina hubungan persahabatan, tidak sedikit dugaan dan ujian melanda. Sebab itu, ada persahabatan tidak kekal lama. Akhirnya tinggallah kita sendiri tanpa sahabat. Dunia menjadi sepi dan sunyi, hilang sahabat umpama hilang separuh diri.
Persahabatan ialah hubungan istimewa yang sukar dimengertikan kerana mereka yang memiliki sahabat baik sahaja yang boleh memahami situasi persahabatan. Sahabat bukanlah insan yang diperlukan kerana hendak mengisi lapang sahaja namun hubungan itu sebenarnya lebih daripada itu.
Seorang sahabat menjadikan hidup sahabatnya lengkap. Susah dan senang dikongsi bersama. Malah rahsia hidupnya juga selalu diceritakan kepada sahabat. Baik dan jahat seseorang diketahui oleh sahabatnya. Sebab itulah sahabat baik sangat-sangat sukar ditemui. Justeru, apabila anda mempunyai seorang rakan, hormatilah dia supaya hubungan anda kekal sebagai sahabat. Janganlah disakiti hatinya kerana perkara itu boleh menyebabkan anda kehilangan seorang rakan. Kesukaran memperoleh seorang sahabat sejati dipengaruhi pelbagai punca. Punca-punca ini datangnya daripada pelbagai sebab. Sebagai manusia, kita perlu elakkan daripada perkara buruk kerana memutuskan hubungan sesama Islam itu adalah perkara yang tidak elok dan berdosa.
Tanda sahabat sejati
Ada orang bersahabat kerana mahu balasan daripada sahabatnya itu. Persahabatan seperti itu bukanlah hubungan ikhlas tetapi lebih kepada ada udang di sebalik batu. Persahabatan seperti ini tidak bagus dan bukan hubungan yang sepatutnya terjalin. Bersihkan hati dan bersahabatlah dengan ikhlas demi memanjangkan hubungan suci. Usahlah hubungan persahabatan itu disulami dengan perasaan dengki serta cemburu. Perasaan inilah yang boleh menjadi duri dalam daging sehingga memusnahkah hubungan suci tersebut. Sahabat yang baik sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk membantu sahabatnya. Pertolongan yang dihulurkan bukan menuntut balasan tetapi demi menyenangkan hidup sahabatnya. Walaupun ketika itu dia sendiri tiada kemudahan seperti wang dan masa, namun untuk seorang sahabat, dia sanggup bersusah payah membantu sekadar termampu. Itu tanda sahabat sejati.
Sahabat adalah antara keperluan bagi seseorang. Tanpa sahabat hidup akan menjadi hambar. Tanda seorang sahabat sejati ialah dia sanggup menceriakan kehidupan sahabatnya walaupun ketika itu dia juga sebenarnya sedang bersedih. Kesedihan dikongsi bersama serta kegembiraan diraikan bersama. Keikhlasan ialah tonggak utama dalam persahabatan. Apabila wujudnya sikap ini maka kebaikan-kebaikan lain akan datang. Melalui keikhlasanlah maka akan timbul kesetiaan, hubungan baik, kejujuran, ketabahan dan sifat murni yang lain. Sahabat tidak pernah akan meragui keikhlasan sahabatnya kerana hubungan mereka memang murni. Tiada cemburu, tiada cakap-cakap belakang dan tiada kepura-puraan. Ini juga tanda sahabat sejati.
Tikam belakang ialah perkara paling teruk yang akan memusnahkan hubungan persahabatan. Seorang sahabat sejati tidak akan sanggup menikam belakang sahabatnya. Dia tidak akan mengumpat sahabat sendiri kerana dia kenal benar dengan sikap sahabatnya. Lagipun, jika sahabat membuat kesilapan, sahabatlah yang akan menasihati dan memperbetul keadaan. Seorang sahabat tidak akan teragak-agak menegur perbuatan sahabatnya. Dia lebih rela sahabat itu dimarahi oleh dia sendiri berbanding dikutuk oleh orang lain. Sahabat ialah hubungan yang memenuhi roh kejiwaan. Kita bersahabat untuk berkongsi kegembiraan dan kedukaan. Bukanlah mengharapkan sesuatu. Seorang sahabat bukan diperlukan untuk mengisi ruang kosong dalam hidup. Namun sahabat diperlukan untuk ‘menghidupkan’ ruang kosong tersebut. Sahabat ialah insan yang boleh menjadi pelengkap kekurangan kita, bukannya mengisi kekosongan kita.