Memaknakan Budaya Balik Kampung Di Aidilfitri


Menjelang 1 Syawal, ibarat satu kewajipan untuk umat Islam di negara ini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Kala inilah mereka berpeluang bertemu ibu dan ayah serta sanak-saudara yang masih ada. Budaya sebegini sudah diterima pakai sejak dari dahulu lagi, malah ia semakin dinikmati bukan sahaja oleh umat Islam malah bangsa lain turut melakukannya.
Persoalannya adakah budaya balik kampung itu dapat menghidupkan roh Aidilfitri sebagaimana yang dituntut oleh agama? Atau kepulangan anak cucu itu sekadar memenuhi tuntutan bercuti panjang di Hari Raya.
Mencari makna di sebalik budaya pulang berhari raya perlu diperjelaskan dengan lebih mendalam, agar kepulangan itu bukan sekadar pulang kosong tanpa pengertian. Bagi mengupas isu yang diketengahkan ini MW berkesempatan menemu bual Prof. Madya Hj Mohd Nor Mamat dari Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan beberapa pandangan dari orang ramai.
Jadi ikutan bangsa lain Menurut Prof. Madya Hj Mohd Nor, di kalangan umat Islam di Malaysia, budaya pulang ke kampung bermula dengan sambutan Aidilfi tri yang lama-kelamaan menjadi ikutan oleh bangsa lain. Ia menjadikan acara pulang ke kampung semasa cuti perayaan seperti satu budaya di negara ini.
Secara menyeluruhnya, ia bukanlah satu tuntutan agama kerana Islam tidak mengatakan perlu balik ke kampung apabila tiba Hari Raya. Tetapi Islam itu sendiri menyuruh umatnya mengamalkan konsep ziarah-menziarahi.
Ketika di zaman Rasulullah S.A.W, baginda keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid melalui jalan yang lain dan akan pulang ke rumahnya dengan menggunakan jalan yang lain.
Semasa dalam perjalanan pulang itulah baginda akan menziarahi rumah-rumah yang ada di sepanjang perjalanannya itu. Baginda tidak mengunjungi kediaman semasa perjalanan pergi ke masjid kerana mahu segera sampai ke sana, jadi semasa bertemu orang ramai di sepanjang jalan itulah baginda akan bertegur sapa. Amalan Rasulullah S.A.W yang pergi dan balik ke masjid menggunakan jalan berlainan ini adalah sebahagian dari sunahnya.
Dalam konteks sekarang ini, ramai di kalangan rakyat Malaysia yang bekerja di bandar malah ada sebahagiannya telah membawa ibu bapa berhijrah untuk menetap di bandar bersama mereka. Berkemungkinan trend pulang berhari raya di kampung akan berubah dan sambutannya berpindah di bandar. Namun, trend ini tidak akan berlaku dalam tempoh masa terdekat, ia mungkin akan memakan masa dari 5 ke 10 tahun lagi. Walau bagaimanapun, trend balik kampung ini masih kekal.
Budaya balik kampung di kalangan umat Islam ini juga disebabkan adanya faktor yang menarik untuk mereka pulang misalnya adanya ibu bapa yang masih menetap di kampung-kampung ataupun sesetengahnya menetap di bandar tetapi masih mempunyai rumah induk untuk mereka diami ketika berkumpul bersama adik-beradik atau ahli keluarga.
Menurutnya lagi, seharusnya roh Aidilfitri itu sentiasa subur di kalangan umat Islam. Budaya balik kampung perlu selaras dengan tuntutan agama yang menuntut anak-anak bermaaf-maafan dengan kedua ibu bapa, adik beradik malah sanak saudara yang berada di kampung.
Seandainya di kampung itu sendiri tiada elemen yang dapat memanggil kepulangan individu misalnya ketiadaan ibu bapa, tiada rumah induk dan sebagainya, budaya balik kampung boleh terhakis sedikit demi sedikit.
Tiadanya elemen yang menarik inilah membuatkan sesetengahnya membuat keputusan untuk melancong di Hari Raya. Sudahnya cuti Aidilfi tri itu tidak lagi memberi makna sebaliknya sekadar cuti biasa sahaja.
Isi Dengan Aktiviti Bermanfaat
Bagi menghidupkan pengisian budaya pulang ke kampung ini kata Prof. Madya Hj Mohd Nor disarankan agar masyarakat bandar yang pulang perlu membuat perancangan atau program khusus yang dapat mengumpulkan adik-beradik dan sanak saudara.
Kesibukan kerja membuatkan adik beradik sukar untuk berkumpul dengan adanya cuti panjang itu mereka boleh memilih satu tarikh di Hari Raya untuk menganjurkan satu program perjumpaan adik-beradik. Dalam program itu perlulah diisi dengan aktiviti yang bermanfaat. Jika di bandar, program sebegini dinamakan Hari Keluarga. Tidak salah program seumpama itu dianjurkan semasa Hari Raya dengan cara yang lebih profesional.
Jika dahulu, masyarakat kampung akan berjalan beramai-ramai menziarahi dari satu rumah ke satu rumah. Sekarang ini ia tidak lagi menjadi amalan yang wajib. Program perkumpulan adik-beradik dilihat dapat meneruskan tradisi itu. Walaupun caranya berbeza ia tetap mempunyai objektif yang sama.
Selain itu, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk membawa anak-anak menziarahi saudara mara di kampung. Dengan itu, silaturahim tidak akan terputus dan anak-anak dapat berjumpa dengan saudara mara mereka. Jadi tali persaudaraan akan terus dijalinkan. Seharusnya roh Aidilfi tri itu tidak dihilangkan dari dalam diri setiap umat Islam.
PANDANGAN ORANG RAMAI
Cara Gembirakan Hati Ibu Bapa
Bagi Mahani Sulaiman, acara balik kampung amat digalakkan terutamanya untuk bertemu dengan ibu bapa kerana kedua insan ini selalu mengharapkan kepulangan anak-anak mereka.
“Selagi ibu bapa masih ada, eloklah anak-anak sentiasa balik kampung bila berkesempatan. Gembirakanlah hati ibu bapa sementara mereka masih lagi hidup. Saya sebagai seorang ibu juga sentiasa mengharapkan anak-anak akan balik kampung bila tiba hari raya.
“Saya akan sedih kalau anak-anak saya tidak balik ke kampung kerana biasanya pada hari tersebut saya akan masak banyak makanan yang menjadi kesukaan mereka. Saya sendiri, sewaktu ibu bapa masih ada, akan pulang ke kampung pada hari raya.
“ Tetapi sekarang ini apabila mereka telah tidak ada, saya hanya balik ke kampung mentua yang terletak di Perak. Saya jarang balik ke kampung saya sendiri kerana perasaan seronok itu tidak ada apabila orang tua sudah tiada.
“Kadang-kadang ada sesetengah anak enggan balik kerana tidak ada duit. Tapi sebenarnya ibu bapa bukan mahukan duit anak-anak tetapi hendak berjumpa dengan anak-anak bagi melepaskan rindu.”
“Apabila balik kampung juga, kita dapat mengeratkan silaturahim antara keluarga dan sanak saudara. Biasanya sewaktu balik kampung ini juga, saya akan mengambil kesempatan itu untuk memperkenalkan ahli-ahli baru dalam keluarga kepada sanak-saudara. Selain itu saya juga akan pastikan anak dan cucu mengenali sanak saudara mereka.”

1 Gtau jek:

Citarasa Rinduan said...

Thanks bkongsi. Ayu nk raya betul2 tahun nie....

 
Copyright © Mama Najlaa Punya | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in