9 HADIAH TANPA BAJET ERATKAN HUBUNGAN SUAMI ISTERI

Setiap kali sambutan ulangtahun kelahiran ataupun ulangtahun perkahwinan, Kamila pasti akan menerima hadiah daripada suami tersayang. Pelbagai hadiah yang diterimanya termasuklah barangan kemas, gajet serta barangan keperluan diri. Malah sebut sahaja apa yang dikehendaki pasti suami akan memberikannya tanpa banyak soal.

Kadang-kadang tidak semestinya Kamila menerima hadiah sempena ulang tahun kelahiran ataupun ulang tahun perkahwinan, tetapi juga pada hari-hari biasa. Ternyata kasih sayang serta rasa cinta suami tertumpah pada dirinya seorang. 

Sememangnya pemberian hadiah merupakan salah satu cara untuk menarik hati pasangan. Malah ia juga boleh mengeratkan hubungan sedia ada terutama suami isteri. Jika mampu boleh memberi hadiah yang mahal harganya atau sebaliknya. Namun itu tidak penting kerana yang paling utama adalah ingatan serta tanda menghargai terhadap yang tersayang.

Namun begitu, pernahkah kita terfikir sebenarnya tidak perlu mengeluarkan belanja untuk pemberian hadiah ini. Ini kerana pemberian hadiah bersikap subjektif. Ada hadiah yang murah dan senang untuk diberi. Malah ia lebih bersikap praktikal dan selalu kita berikan. Cuma ada kalanya kita tidak perasan. Terdapat beberapa pemberian hadiah yang bukan sahaja bernilai tetapi lebih menggambarkan betapa sayang dan kasih pada pasangan.

1. Hadiah mendengar
Ini merupakan hadiah yang mudah diberi dan diperoleh. Berikan sahaja hadiah ini kepada yang memerlukan dan anda pula hendaklah benar-benar mendengar apa yang dikatakan. Seelok-eloknya jangan mencelah ketika pasangan sedang berbicara, lebih-lebih lagi membabitkan hal serius. Jika pasangan bijak menutur kata, andalah pendengar yang bertuah. Ini kerana dengan mendengar penuh khusyuk adalah satu hadiah yang dapat menjaga hati pasangan secara peribadi.

2. Hadiah tanda kasih
Hadiah ini lebih istimewa kerana ia lebih membabitkan sentuhan. Secara peribadi, sentuhan memainkan peranan penting dalam merapatkan satu-satu hubungan. Bagi anda, jangan kedekut untuk memberikan pelukan, ciuman dan ramasan tangan terhadap pasangan anda. Sebenarnya perbuatan sekecil ini mampu menunjukkan kasih anda secara tersurat. Ia tidak perlu diucap dan merupakan hadiah yang paling berharga. Misalnya memberi ciuman ketika mahu pergi kerja dan sentiasa memegang tangannya ketika keluar berjalan-jalan.

3. Hadiah sehelai nota
Nota ringkas seperti 'saya sayang awak' atau sesuatu yang kreatif seperti sebuah puisi. Kalau boleh letakkan nota ini di tempat yang tidak disangka oleh pasangan kita seperti di poket baju, depan cermin kereta atau dalam kasut. Ia adalah cara terbaik untuk menunjukkan kasih sayang anda padanya. Terutama bagi yang sibuk dengan urusan kerja di pejabat dan masa yang ada bersama berkurangan. Nota kecil yang mempunyai makna besar ini secara tidak langsung memberi semangat dan pengertian bahawa anda benar-benar menyayanginya. Tidakkah itu hadiah paling mudah untuk dilakukan?.

4. Hadiah ketawa
Hadiah ketawa paling mudah dilakukan namun anda harus pandai membuat pasangan ketawa. Jangan tersilap hingga dia menganggap seperti lawak bodoh. Berikan kepadanya sesuatu yang lucu seperti gambar kartun atau artikel lucu. Mesejnya seperti 'saya suka bersama awak'. Sekurang-kurangnya hatinya terhibur tatkala membaca mesej yang disampaikan. Mana tahu pada masa itu pasangan tengah marah dan bengang, lawak anda akan menjadikan dirinya bertambah bengang. Lihat situasi dan ketawa boleh menjadikan rumah tangga bertambah ceria dan bahagia.

5. Hadiah puji-pujian
Puji-pujian merupakan satu perkara yang sangat senang diberi tetapi jarang dilakukan pasangan. Tidak kira suami atau isteri amat sukar memuji pasangannya. Tidak biasa adalah alasan yang biasa diberi. Cuba praktik sekarang dan ia akan menjadi amalan harian anda. Misalnya pasangan memakai baju biru dan anda mengatakan' baju biru sesuai sekali untuk awak". Pujian ini walaupun tidak mengapa jika tidak diucapkan tetapi mempunyai nilai yang sangat tinggi kepada orang yang anda sayang.

6. Hadiah bantuan
Hadiah ini paling disukai oleh isteri terutamanya. Bantulah pasangan di rumah jika ada kelapangan. Memang mereka tidak meminta tetapi lebih elok hulurkan sahaja bantuan yang memang sangat diperlukan. Dengan menghulurkan bantuan dapat meringankan beban yang dipikul bersama. Pada masa inilah anda membuktikan bahawa anda sanggup bersusah dan senang bersamanya.

7. Hadiah bersendirian
Ada ketikanya kita tidak mahu diganggu dan mahu bersendirian. Anda perlu peka dengan situasi ini dan biarkan dia bersendirian seketika. Jika emosinya tidak bagus, jangan diganggu dan mempertikaikan mengapa dirinya tidak dapat melayan anda. Berilah peluang dirinya bersendiri jika cara itu dapat menenangkan dirinya. Suami perlu maklum ada masanya setiap bulan, emosi isteri akan terganggu dan bersendiri adalah cara terbaik.

8. Hadiah keceriaan
Ia adalah hubungan yang sangat perlu dalam rumah tangga. Tanpa keceriaan, perhubungan akan hambar dan tidak ceria. Cubalah sentiasa ceria bersama orang yang dikasihi. Jaga hatinya sebaik mungkin biarpun anda ada masalah sendiri ketika itu. Adalah lebih bagus setiap kali pasangan balik kerja, sambut dengan senyuman dan hulurkan air sebagai penghilang dahaga. Cara terbaik untuk memenangi hatinya dan hadiah yang boleh meringankan tekanannya di pejabat setiap kali pulang ke rumah.

9. Hadiah doa
Anda juga digalakkan memberi hadiah doa kepada pasangan. Tidak kiralah di mana jua pasangan berada dan doakan agar dia berada dalam kesejahteraan. Ini adalah hadiah paling penting dan bernilai antara hadiah lain. Doa adalah sesuatu yang bersikap spiritual dan tidak boleh diukur dengan mana-mana nilai sekalipun. Sama ada suami atau isteri berdoalah demi kesejahteraan keluarga dan rumah tangga yang dibina selama ini.


5 Gtau jek:

Citarasa Rinduan said...

selamat pagi dr bumi Malaysia..

thanks kak lela..
moga sama2 kita manfaatkan u hubungan kita suami isteri..
bab puji2an tu ayu mmg suka.. ahaksss

nota tu? kalau nota dlm sms sama jer kan?
hehehe

Lelord said...

@Citarasa Rinduan salam dari Qatar, heehehe sms consider nota la, akak pun selalu sms darling kadang tu masing2 dok sblh je pun.

Insyaallah mudah2an dengan cara bajet cenggini lebih mengeratkan hubungan somi isteri

dilazfamily said...

terbaik.baik info ini.semoga bahagia selalu

Sari Yusa Ibrahim said...

hadiah yang tidak memerlukan modal wang... ikhlas dari hati, kan Lelord :-)))))

Izan Ishak said...

i like! Moga hubungan kita n pasangan akan terus bahagia sampai bila2 ye.

 
Copyright © Mama Najlaa Punya | All Rights Reserved | Designed by Whitey Mommy Back to Top|Sign in