janin
Ada kajian dari Barat menyatakan bahawa janin juga mampu merasai emosional dan naluri untuk merasai cinta kedua ibu bapanya. Janin juga boleh melihat, mendengar, merasa, mengingat dan berfikir sebelum dirinya dilahirkan.

Bagaimana janin boleh merasai emosi ibu mereka? Adakah emosi ibu tembus sehingga ke rahim ibu? Cinta yang dirasai janin adalah menerusi hormon-hormon yang dikeluarkan oleh tubuh anda. Ibu yang tertekan akan membentuk banyak hormon tekanan yang disebut catecholamines dan turut dirasai janin.

Penting bagi bakal ibu untuk berhenti dari berasa cemas dalam pelbagai perkara termasuklah khuatir keadaan janin, persiapan melahirkan malah cara mendidik anak. Nikmati sahaja saat kehamilan anda sehingga ia mampu membentuk ikatan dengan si comel janin. Belajar untuk bersikap santai dan rasional agar janin boleh berasa diingini dan dicintai. Bukankah janin adalah buah cinta anda dan pasangan?

Sampaikan Rasa Cinta
Aktiviti ini boleh dilakukan bagi menyampaikan rasa cinta anda kepada janin. Berbicaralah dengan janin. Sejak usia 16 minggu, janin boleh mendengar bunyi degupan jantung anda sampailah bunyi perut anda saat kelaparan.

Pada usia 25 minggu ia boleh mendengar suara dari luar kandungan. Ia juga boleh membezakan antara suara ayahnya dan lelaki lain sewaktu diajak berbicara.

Katakan yang anda mencintainya terutama ketika berdua-duaan dengan janin. Misalnya sewaktu mandi, rehat sendirian di rumah atau sebelum tidur. Jadikan acara berbicara itu sebagai satu rutin. Bakal ayah pula tidak perlu berasa pelik jika berbicara di perut isterinya yang membuncit itu.

Janin juga boleh merasai sentuhan. Sungguhpun ia diselubungi air ketuban, tidak bererti anda tidak boleh menyentuhnya. Cuba tekan perut anda dengan lembut. Ia akan kembali menekan perut anda.

Sama seperti suara, janin boleh membezakan antara sentuhan orang tua dengan sentuhan orang lain. Usap-usap perut anda di bahagian yang menonjol dan buah hati anda akan merasainya.

Bermain dengan sentuhan boleh menjadi lebih menyenangkan jika anda dapat melumurkan tubuh anda dengan minyak yang beraroma mawar atau lavender dengan usapan membulat.

Tidak salah juga jika anda menyanyi bersama janin. Muzik sebagai bahasa pralinguistik yang merupakan asas kemampuan bahasa bayi. Janin menyukai irama yang kuat dan teratur, justeru nyanyikanlah lagu-lagu dengan ungkapan cinta untuknya. Jangan pernah berasa bimbang dengan kualiti suara anda. Jika perlu, pasangkan muzik agar janin boleh mendengarnya. Pilih lagu atau muzik berirama seperti bunyi jantung.

Elakkan muzik yang terlalu keras atau menghentak-hentak kerana air ketuban akan meningkatkan volume suara yang didengar oleh janin. Jika anda mahu mengetahui apakah reaksi janin, rasai gerakannya. Ketika dia lahir, lagu yang dahulu sering anda putar atau nyanyikan pasti akan disukainya. Ia bisa membantu menenangkan anak anda kelak.

Bahagialah Sepanjang Kehamilan
Wanita hamil yang bijak adalah wanita yang mempunyai cara untuk merasai bahagia di sepanjang kehamilannya. Terdapat beberapa idea yang boleh ditiru dan dipraktikkan oleh wanita hamil untuk mengecap nikmat bahagia di sepanjang kehamilannya.

Bersenam adalah Baik Untuk Wanita Hamil
Senaman yang sesuai untuk wanita hamil boleh membuatkan tubuh si ibu sihat dan janin pun menjadi sihat. Sebaiknya sebelum meneruskan niat untuk bersenam dapatkan dahulu nasihat daripada doktor anda.

Wanita Hamil Juga Boleh Kelihatan Cantik
Tidak sukar untuk kelihatan cantik semasa hamil. Apa yang perlu dilakukan adalah bakal ibu perlu melihat dan mengamati dengan lebih mendalam tentang dirinya sendiri.

Cara itu mereka tahu bagaimana mahu berhadapan dengan tubuh mereka. Justeru, jangan bimbang untuk tampil cantik sewaktu hamil. Ingatlah bahawa waktu hamil bukanlah masa yang sesuai untuk memencilkan diri. Serlahkan kejelitaan anda dengan keyakinan diri yang mendalam.

Berikan Rangsangan Pada Janin
Bagi memenuhi perkembangan fizikal janin, rangsang janin anda dengan mengambil makanan dan minuman yang bernutrisi seperti minum susu untuk wanita hamil, melakukan senaman ringkas dan rehat yang mencukupi. Manakala untuk perkembangan kognitifnya, berikan rangsangan dengan mengambil makanan yang dapat menggalakkan pertumbuhan otak seperti vitamin. Anda juga boleh mulakan bercerita dengan janin dan berikan mereka merasai apa yang anda rasai ketika ini.